Samirah, 2 remaja kekal bebas tuduhan bunuh Nazrin, ini respon keluarga mangsa
Ia berikutan pihaknya mendapati pasukan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie

PUTRAJAYA 8 Feb – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan ketiga-tiga tertuduh itu.
Vazeer Alam berkata, ia berikutan pihaknya mendapati pasukan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
“Dalam hal ini, Mahkamah Tinggi betul dalam penemuan bahawa kegagalan dalam menentukan masa kematian mangsa (Nazrin). Maka teori orang terakhir dilihat (bersama CEO itu) tidak boleh digunakan.
“Tambahan lagi kita tidak menemui sebarang motif (pembunuhan Nazrin). Malah, pihak pendakwaan tidak kemukakan sebarang bukti motif responden (ketiga-tiga tertuduh) membunuh mangsa.
“Dakwaan motif adalah kerana isu kewangan, mangsa mahu menceraikan Samirah dan hubungan tidak baik mangsa dengan responden kedua serta ketiga (dua remaja itu) adalah tidak jelas serta samar,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga Nazrin Hassan, menyifatkan keputusan mahkamah yang mengekalkan pembebasan Samirah Muzaffar serta dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu, sebagai ketentuan Ilahi.
Kakak sulung Nazrin, Che Elainee, 67, menerima keputusan itu, malah menegaskan tidak mahu Samirah dipenjarakan.”
“Kami bukan nak Samirah dipenjarakan atau ke tali gantung, kami dalam keadaan serba-salah dan sedih kerana adik (Nazrin) meninggal dunia.
“Semuanya ketentuan Allah SWT dan kami reda walaupun sedih adik meninggal dunia, tetapi pada masa sama kami tidak mahu Samirah disabitkan (atas kesalahan).
“Jadi kami terima keputusan mahkamah dan doakan kami kuat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi 14 Jun 2018.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 49, dan dua remaja terbabit yang kini berusia 18 serta 21 tahun.
Dalam penghakimannya, Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Vazeer Alam berkata, mangsa dan Samirah mempunyai hubungan baik serta penyayang berdasarkan keterangan beberapa saksi pendakwaan.
“Beberapa hari sebelum kematian Nazrin, mesej antara suami isteri itu kelihatan biasa dan menunjukkan hubungan intim antara mereka.
“Pasukan pendakwaan bergantung kepada bukti keadaan (kejadian), mencari motif apabila melihat ada hubungan baik antara mangsa dan Samirah menjadi penting yang memberi kelebihan kepada tertuduh,” katanya. – Berita Harian