Politik

Sanusi ‘buka mulut’ dedah punca MP BERSATU tukar sokongan

Sanusi menyifatkan keadaan itu berlaku berikutan tekanan dialami wakil rakyat berkenaan apabila mereka tiada peruntukan kewangan yang mencukupi untuk 'menjaga' kawasan masing-masing

POKOK SENA 25 Jan – Perikatan Nasional (PN) berharap tiada lagi ahli Parlimen daripada BERSATU yang membuat pengumuman menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas enam wakil rakyat parti itu berbuat demikian setakat ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyifatkan keadaan itu berlaku berikutan tekanan dialami wakil rakyat berkenaan apabila mereka tiada peruntukan kewangan yang mencukupi untuk ‘menjaga’ kawasan masing-masing.

“Saya rasa itu pun sejenis tekanan. Dia (Kerajaan Pusat) membiarkan (wakil rakyat) itu kelaparan dan dibiarkan (tanpa peruntukan kepada Ahli Parlimen) kerana tekanan berlaku di kawasan tadbirannya, orang tuntut macam-macam tapi dia tidak ada kemampuan.

“Jadi sampai dia letih, dia terpaksalah (sokong Perdana Menteri). Saya harap itu yang terakhirlah. Orang pun tak lah gila semua atas dunia ni dah jadi wakil rakyat tak ada bajet, jadi tekanan kat dia, lama-lama dia pun akan panas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena 2024 di Dewan Serbaguna daerah itu di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah turut menasihatkan agar wakil rakyat PN sentiasa bersedia untuk berkhidmat dalam situasi serba kekurangan terutama sebagai pembangkang.

“Jadi wakil rakyat ini perlu bersedia untuk susah, siap untuk derita, kalau bahagia Alhamdulillah, kalau derita sudah disiapi,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, mengumumkan sokongannya kepada kepemimpinan Anwar berkuat kuasa serta merta selepas menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara.

Pada kenyataan sama, beliau mendakwa masih setia sebagai ahli BERSATU dan tidak akan mengkhianati parti itu.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen BERSATU terlebih dahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman. – Berita Harian 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button