Sanusi dakwa SD dah cukup nak jatuhkan Kerajaan Perpaduan
Sanusi bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci mengenai jumlah SD yang diperoleh.
KUALA LUMPUR 7 Jan. – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.
“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai SD untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, media melaporkan Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.
Kenyataan didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial juga adalah palsu.
Kenyataan media bertarikh 6 Januari tular mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Seri Paduka Baginda.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan ‘Langkah Dubai’ tidak akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan. — Berita Harian