Berita

Sanusi dedah dirinya sasaran sebenar kes rasuah KFA

Penahanan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA, hanyalah sebagai aksesori sahaja untuk mengada-adakan kes bagi menganiaya mereka

ALOR SETAR 8 Jan – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa beliau adalah target atau sasaran sebenar pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Presiden KFA itu mendakwa, penahanan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA, hanyalah sebagai aksesori sahaja untuk mengada-adakan kes bagi menganiaya mereka, seterusnya membina naratif buruk terhadap Kerajaan Kedah di bawah pentadbirannya.

Beliau mendakwa, ada pihak lain yang sepatutnya dikenakan tindakan dan bukannya empat individu berkenaan.

“Menganiaya depa (mereka) tak boleh buat lagu tu, berdosa…saya tak seiring dengan depa, semua itu aksesori saja, targetnya saya, cari kes saya berbulan-bulan cari tak jumpa, kebenaran hangpa dah jumpa, Sanusi tak ada kes.

“Tapi hangpa (mereka) ada-adakan juga, salah satunya mempamerkan persepsi bina naratif bahawa di Kedah ini rasuah banyak, bola sepak pun rasuah,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dakwaan itu menyebabkan pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kepada KFA berasa takut untuk berbuat demikian.

“KFA yang sedang menanggung beban hutang, menanggung pasukan futsal, pasukan Piala Presiden, Piala Belia, semua dah setuju nak sumbang kepada KFA, bila depa buat cerita ini orang jadi ‘serot’ (takut),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperjelaskan kedudukan sebenar KFA yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Katanya, tiada unsur penyelewengan dalam KFA kerana wang dimaksudkan itu merupakan wang yang sememangnya berada dalam akaun badan itu, bukannya akaun peribadi.

Malah beliau menegaskan jumlah yang diuar-uarkan juga tidak tepat, hanya RM5 juta dan bukannya RM6 juta seperti didakwa.

“Tak dimaklumkan apa-apa setakat ini (hadir beri keterangan kepada SPRM).

“Saya sedia beri kerjasama 28 jam sehari. Datanglah bila pun, nak tanya apa? Mai (datang) saya nak jawab,” katanya .

Muhammad Sanusi menganggap apa yang dipamerkan hanyalah propaganda murahan pihak tertentu menggunakan agensi awam dengan membawa empat individu itu seperti dituduh rasuah dan memanggil wartawan dan jurufoto untuk mengambil gambar mereka.

“Saya harap bertaubat semualah pihak yang terlibat, wartawan yang ambil gambar, TV siar. Orang yang rancang benda tu bawa kereta pergi parking jauh, pakai baju kuning semua berdosa hangpa jawab di akhirat esok,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan SPRM menahan reman empat individu termasuk CEO KFA yang mana masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah. – Berita Harian 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button