Sanusi angkat sumpah sebagai MB hari ini
Sanusi dijadualkan akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi

ALOR SETAR 14 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, di sini, pagi ini.
Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dijadualkan akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi.
Menurut Sanusi, pada waktu sama juga beliau perlu memilih barisan Exco dari 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bagi membantunya untuk mentadbir negeri Kedah selepas ini.
“Selepas komitmen yang saya buat dengan para ADUN ini, selepas ini nak kena lantik jadi Exco pula. Saya pecah mata tuan-tuan. Saya nampak semua layak (jadi Exco) saya tak tahu nak lantik siapa.
“Saya serah kepada parti, semua pimpinan PN di Kedah berunding dan berbincang, kalau perlu dibawa ke atas, (selepas itu) datangkan nama itu kepada saya. Saya takkan buat pilihan.
“Tuan-tuan sekalian saya dijadualkan angkat sumpah jam 10 pagi esok (hari ini),” kata Sanusi semasa berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.
View this post on Instagram
Dalam pada itu, Sanusi juga berharap agar rakyat di negeri ini akan terus bersama dengan kerajaan baharu Kedah Sanusi juga berharap agar rakyat di negeri ini akan terus bersama dengan kerajaan baharu Kedah untuk berjuang bersama membangunkan negeri ini melalui perancangan pembangunan 15 tahun akan datang.
Menurut Sanusi, kejayaan besar PN pada PRN negeri ini membuktikan apa yang dilakukan oleh kerajaan Kedah telah diakui dan diterima oleh seluruh rakyat negeri ini.
“Perkara ini diterjemahkan dalam peti undi sehingga di kalangan ADUN PN mendapat majoriti sehingga 23,000, 24,000 undi.
“Ini adalah manifestasi kehendak rakyat Kedah kepada perjuangan PN yang kami telah sebutkan sejak awal lagi, inilah jalannya untuk berpolitik menguruskan kehidupan rakyat di negeri ini.
“Tuan-tuan di Kerajaan Persekutuan, sila hormati kehendak rakyat Kedah ini dengan mandat yang telah diberikan kepada PN. Jangan cuba nafikan, jangan cuba ketepikan,” kata Sanusi. — Xklusif