Berita

Sanusi menang saman, Mahfuz kena bayar RM250,000

Mahkamah mendapati Mahfuz melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikatakan adalah untuk kegunaan Menteri Besar

ALOR SETAR 31 Jan – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataan fitnah yang dibuat pada 2020.

Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Mahfuz sebagai defendan.

Mahkamah mendapati Mahfuz melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikatakan adalah untuk kegunaan Menteri Besar.

Mahkamah memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi teladan RM50,000 selain defendan perlu menanggung kos guaman berjumlah RM30,000 yang semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari.

Defendan turut diperintahkan membuat permintaan maaf secara terbuka di akhbar bahasa Melayu dan Inggeris selain turut membuat perkara sama di laman sosial Facebook milik Mahfuz mengikut yang ditetapkan Sanusi dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah turut mengekalkan injuksi dimohon Sanusi bagi menghalang Mahfuz, ejen dan penyokongnya mengulangi kenyataan fitnah berkenaan termasuk tidak mengulang siar kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Arik berkata tuduhan Mahfuz bahawa Muhammad Sanusi mengarahkan SADA membeli Toyota Vellfire bagi kegunaan peribadi Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai fitnah dan berniat jahat.

“Mahkamah mendapati kenyataan yang dikeluarkan defendan terhadap plaintif melalui Facebook bahawa kenderaan Vellfire yang menggunakan dana SADA adalah untuk kegunaan dan kepentingan peribadi plaintif adalah bersifat fitnah dan dibuat dengan niat jahat terhadap plaintif.

“Defendan sendiri mengakui dalam keterangannya bahawa kenyataan yang dikeluarkan beliau itu adalah berdasarkan satu dokumen kertas kerja yang beliau sendiri telah gagal mengesahkan sumber dan ketulenan sumber tersebut

“Plaintif berjaya membuktikan terdapat kenyataan media pihak SADA dan saksi plaintif mengesahkan bahawa kenderaan Toyota Vellfire dibeli untuk pengurusan tertinggi SADA dan orang-orang yang diberi kebenaran SADA dan bukan untuk kegunaan Menteri Besar Kedah,” katanya.

Dalam prosiding berkenaan Muhammad Sanusi diwakili barisan peguam diketuai Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan, manakala Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah mewakili Mahfuz.

Pada Oktober 2020, Muhammad Sanusi dilaporkan memfailkan saman fitnah ke atas beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian MPV Toyota Vellfire milik SADA itu adalah bagi kegunaannya.

Antara pemimpin berkenaan adalah Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena; bekas ADUN Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan dua individu lain.

Muhammad Sanusi menjelaskan, pembelian kenderaan terbabit dibuat Jawatankuasa Perolehan Aset SADA secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.

Sementara itu, Muhammad Faiz ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan secepat mungkin bagi penangguhan hukuman sementara defendan memfailkan rayuan berkenaan. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button