Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut
Menteri besar Kedah itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

KUALA LUMPUR 18 Julai – Sanusi Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri besar Kedah itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sanusi didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang Empat, Taman Selayang Mutiara, Selangor pada 11 Julai lalu.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin membenarkan Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Peguam Cara Negara, Ahmad Terrirudin Salleh, manakala Sanusi diwakili peguam Shaharudin Ali. — Xklusif