Berita

Sanusi selesai beri keterangan SPRM selepas hampir tiga jam

Kenderaan jenis Mercedes berwarna perak membawa Muhammad Sanusi dilihat meninggalkan ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 11.37 pagi.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Selepas hampir tiga jam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini berhubung dakwaan rasuah berkait persatuan boleh sepak negeri.

Kenderaan jenis Mercedes berwarna perak membawa Muhammad Sanusi dilihat meninggalkan ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 11.37 pagi, namun usaha petugas media untuk mendapatkan reaksi beliau tidak berhasil.

Terdahulu, kenderaan membawa Menteri Besar Kedah itu dilihat memasuki kawasan ibu pejabat hadir pada jam 8.30 pagi.

Semalam, media melaporkan SPRM akan memanggil Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu untuk membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM6 juta membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Difahamkan, siasatan dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang dijanjikan mendapat projek di negeri di Kedah sekiranya menyalurkan dana kepada persatuan bola sepak berkenaan, namun tidak memperolehnya selepas berbuat demikian.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi sebelum ini mendakwa beliau adalah sasaran sebenar pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam KFA, sedangkan dakwanya ada pihak lain sepatutnya dikenakan tindakan dan bukan empat individu ditahan SPRM.

Presiden KFA itu juga mendakwa, penahanan empat individu termasuk ketua pegawai eksekutif persatuan bola sepak itu sebelum ini hanya sebagai ‘aksesori’ untuk mengada-adakan kes bagi menganiaya mereka, seterusnya membina naratif buruk terhadap Kerajaan Kedah di bawah pentadbirannya.

Semalam, SPRM memanggil isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, iaitu Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin bagi dirakamkan keterangan.

Ketiga-tiga individu itu dipanggil memberi keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.

Satu notis diserahkan kepada Daim di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun tahun lalu, manakala notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

Siasatan terhadap Daim bermula Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora.

Bagaimanapun Daim dilapor menafikan beliau dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku, sebaliknya mendakwa siasatan terhadapnya bermotifkan politik.

SPRM pula menegaskan dakwaan Daim bahawa siasatan itu menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum sebagai tidak tepat.

Selain itu, SPRM juga sudah merakamkan keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button