Sanusi ucap terima kasih kepada Perdana Menteri
Kos baik pulih infrastruktur rosak serta ganti rugi akibat banjir di Kedah dianggarkan melebihi RM100 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan awal berjumlah RM13 juta untuk tujuan tersebut.
“Saya rasa RM13 juta tak cukup, tapi kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melawat Kedah. Kita sangat menghargai lawatan beliau,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas bancian kerosakan infrastruktur kediaman dan lain-lain selesai, laporan penuh akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan kos dijangka melebihi RM100 juta.
Sanusi juga menyatakan bahawa bancian kerosakan turut merangkumi sektor pertanian, terutama sawah padi yang terjejas di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan luar MADA meliputi 32,000 hektar.
Beliau berharap penilaian penuh akan segera dilakukan dan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan keadaan banjir di negeri ini masih terkawal namun memberi amaran mengenai peralihan monsun yang dijangka bermula Selasa ini dan berpotensi menyebabkan hujan lebat.
“Biasanya peralihan monsun bawa hujan lebat. Harap ia tidak menyebabkan lebih ramai terpaksa berpindah,” katanya.
Perdana Menteri semalam mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negeri ini.