Saravanan: Kerajaan PH-BN komited untuk membangunkan negara
17 anjakan besar aspek ekonomi negara yang diumumkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini akan meletakkan Malaysia ke landasan yang betul.

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan- Barisan Nasional komited dalam membangunkan negara.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata, 17 anjakan besar aspek ekonomi negara yang diumumkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini akan meletakkan Malaysia ke landasan yang betul untuk mencapai wawasan negara.
”Anjakan besar tersebut adalah perlu bagi meletakkan semula Malaysia ke landasan yang betul bagi memastikan sasaran untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2026 hingga 2028 tercapai”, kata Saravanan, yang juga Ahli Parlimen Tapah.
Kerajaan menambah jumlah siling perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 billion dan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion bagi keperluan membiayai bidang keutamaan rakyat.
Langkah itu bertujuan memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
Kerajaan menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5% setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan memberikan tumpuan kepada dua perkara pokok.
Perkara pertama adalah memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri yang bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran.
Pada masa sama kerajaan komited untuk terus bekerjasama dengan sektor swasta dan ahli akademik bagi menambah baik aspek produktiviti negara, tambah Saravanan.
Sesi hari ini adalah sidang Dewan Rakyat bagi penggal kedua, Parlimen ke-15 yang akan berlangsung 6 hari sehingga Selasa depan. — Xklusif