Saravanan tak terkesan dakwaan akan dipanggil SPRM
Beliau menganggap perkara itu lumrah menjelang PRN.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan tetap tidak terkesan dengan khabar angin bahawa beliau akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan ke atas tiga ahli perniagaan.
Ahli Parlimen Tapah itu lebih kagum melihat komen selepas gambarnya bersama seorang daripada ahli perniagaan itu tersebar di media sosial.
“Biasalah semasa musim pilihan raya, macam-macam khabar angin boleh timbul, melainkan ada pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa.
“Sejujurnya, tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang berlaku. Maksud saya kita tidak tahu sama ada wujud kes itu,” katanya.
Saravanan berkata demikian ketika ditanya susulan laporan media bahawa SPRM akan memanggil bekas menteri Kabinet untuk memudahkan mereka dalam penyiasatan mereka terhadap urusan perniagaan itu.
Beliau juga berkata SPRM amat mengetahui skop tugasnya dan tidak akan mempunyai masa untuk “dibazirkan dengan menyoalnya”.
Ditanya mengenai gambarnya yang dikongsi secara meluas itu, Timbalan Presiden MIC itu berkata, bukan satu jenayah baginya untuk bergambar dengan mana-mana ahli perniagaan.
“Ia adalah perkara biasa apabila saya keluar,” tambahnya.
Saravanan bertegas bahawa berita yang disebarkan ketika ini mengenainya adalah semata-mata untuk memburukkan imejnya.
Semalam, dilaporkan SPRM telah menahan seorang penganjur konsert bergelar Datuk, yang dikaitkan dengan dana meragukan berjumlah RM500 juta.
Media yang memetik sumber turut memaklumkan dua lagi suspek turut diberkas.
Laporan itu menambah bahawa suspek disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Dipercayai suspek kedua merupakan pengedar filem.
Menurut sumber itu, orang ketiga yang turut ditahan dalam operasi SPRM adalah ahli perniagaan dan ahli politik dari Negeri Sembilan.
Dipercayai lebih 30 individu termasuk ahli keluarga dan rakan suspek telah dipanggil untuk disoal siasat. — The Star