Ekonomi

Sarawak tarik RM4.2 bilion pelaburan suku pertama 2024 – Tengku Zafrul

Sarawak telah berjaya menarik RM4.2 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2024.

Pencapaian ini adalah selaras dalam agenda pertumbuhan negara susulan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian ini juga meletakkan Sarawak di tempat keempat dalam aspek aliran nilai pelaburan.

Sarawak juga disifatkannya sebagai negeri berpotensi menjadi peneraju bagi menarik lebih pelaburan dalam pelaburan hijau berlandaskan beberapa inisiatif yang dilaksanakan negeri itu.

Malah inisiatif negeri Bumi Kenyalang itu ke arah ekonomi hijau juga adalah seiring dengan agenda jangka panjang negara dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan NIMP 2030.

“Setakat ini seperti yang kita semua tahu, banyak syarikat dalam sektor Electronics and Engineering (E&E) dan bahan kimia telah mewujudkan jejak mereka di Sarawak.

“Bersama dengan ramai pelabur domestik lain dan asing lain, pelaburan-pelaburan ini telah mencipta limpahan yang baik dari segi penawaran peluang untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan rakyat di negeri itu khususnya.

“Pencapaian ini mencerminkan visi berpandangan jauh ke hadapan oleh Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dalam memacu negeri itu mendepani trend dan cabaran global sejak 2017,” tambahnya.

Ujarnya pencapaian Sarawak juga jelas membuktikan ia bukan sahaja seiring dengan pembangunan malah juga mendahului dalam beberapa sektor utama.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Siri Invest MIDA bertajuk “Sarawak unfolding its business potentials” (Sarawak membuka potensi perniagaannya),” di ibu negara pada Rabu.

Tambahnya pencapaian utama sejak NIMP 2030 dilancarkan hampir setahun lalu termasuk pelaburan diluluskan bernilai RM329.5 bilion yang direkodkan oleh Malaysia pada 2023, yang seterusnya berpotensi mewujudkan hampir 130,000 pekerjaan.

“Malaysia juga mencapai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM83.7 bilion bagi suku pertama 2024, meningkat 13 peratus tahun ke tahun dan daripada ini lebih 56 peratus telah diluluskan pelaburan asing.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan akan mewujudkan 29,000 pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, peningkatan 14.6 peratus tahun ke tahun.

Selain itu ujarnya, agenda tenaga hijau Sarawak yang bertujuan menyahkarbonkan sistem pengangkutannya dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon adalah seiring dengan strategi NIMP 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pada masa sama, Tengku Zafrul mendedahkan bahawa dari 2021 hingga Mac 2024, kira-kira 80 peratus projek pembuatan yang diluluskan telah dilaksanakan.

“Kadar pelaksanaan yang tinggi telah diwujudkan melalui inisiatif seperti Pusat Pemudahcara Invest Malaysia (IMFC) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dengan sokongan daripada agensi utama seperti Kastam Diraja Malaysia, Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk memudahkan urus niaga pelabur di Malaysia,” katanya.

Antara lain, Tengku Zafrul berkata MITI ketika ini juga memfokuskan untuk merombak keseluruhan ekosistem perindustrian dan pelaburan, termasuk insentif, bakat, infrastruktur serta mekanisme kawal selia, prosedur dan institusi.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button