Saya akan lawan tuduhan ini – Isteri Tun Daim
Isteri Tun Daim akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada esok.
KUALA LUMPUR 22 Jan. – Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menegaskan dia akan melawan tuduhan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya di mahkamah.
Na’imah yang mengesahkan dirinya akan didakwa di mahkamah pada esok berkata, SPRM sebelum ini sudah merakam keterangannya di hospital suaminya dirawat.
“Ini berlaku walaupun saya memberi jaminan kepada mereka saya akan memberi kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suami saya selesai pada hari Selasa.
“Saya kemudian diberitahu bahawa saya akan didakwa pada hari Selasa (esok) pada jam 9 pagi mengikut Seksyen 36(2) SPRM 2009 kerana kononnya gagal mematuhi notis meminta untuk mendedahkan maklumat mengenai aset,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau meminta pendakwaan dilakukan sehari kemudian, iaitu pada hari Rabu selepas prosedur perubatan suaminya selesai, namun ditolak SPRM.
“Mereka berkeras akan mendakwa saya esok. Saya akan berada di mahkamah dan akan melawan tuduhan ini,” katanya.
Terdahulu SPRM menerusi memaklumkan isteri kepada bekas Menteri Kewangan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kuala Lumpur pada esok. — Xklusif