“Saya letak jawatan bukan sebab Zahid” – Tun M
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan peletakan jawatannya hingga membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) empat tahun lalu tidak ada kaitan langsung dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, tindakan itu juga tidak ada kena mengena dengan nasihatnya kepada Ahmad Zahid supaya membubarkan UMNO, sebaliknya punca utama meletakkan jawatan itu kerana partinya iaitu BERSATU menunjukkan mereka ‘sudah hilang kepercayaan terhadapnya’.
“Pada kebiasaannya, apabila seseorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya, secara terhormat sepatutnya letak jawatan dan itulah yang saya lakukan.
“Ahmad Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuhkan saya dan menyelamatkan UMNO.
“Ahmad Zahid bukan hero, dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO iaitu DAP supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.
Terdahulu, BH melaporkan Ahmad Zahid secara terbuka mengakui beliau adalah dalang utama yang terbabit menggulingkan Dr. Mahathir dalam usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan luar biasa itu penting untuk menentang Dr. Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO.
Dakwanya, perkara itu turut disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kertas untuk mengharamkan UMNO sudah ada di atas meja Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr. Mahathir berkata, Ahmad Zahid sendiri datang berkunjung ke pejabatnya tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 yang menumbangkan UMNO.
“Dia datang jumpa dan saya beritahu kepadanya UMNO sudah kalah. Sekarang UMNO sudah tidak relevan kerana tidak pegang kepada asas perjuangan parti, sebaliknya sudah jadi sebuah parti yang berjuang untuk wang (Cash is King).
“(Jika) tidak berpegang kepada asas penubuhan UMNO, itu bukan parti UMNO yang sebenarnya. Saya kata adalah lebih baik kalau UMNO tidak diteruskan, tetapi dia tidak bersetuju. Jadi, terpulang kepadanya apa yang hendak dilakukan,”katanya yang pernah mengemudi UMNO selama lebih dua dekad.
Peletakan jawatan Dr. Mahathir pada Februari 2020 berlaku selepas BERSATU, yang ketika itu sebahagian komponen PH memutuskan kerjasama dengan gabungan itu.
Beberapa pimpinan utama PKR seterusnya menyertai BERSATU bagi membentuk kerajaan baharu dalam apa yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ yang turut disertai beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).
Ia berlaku selepas pemimpin PKR, DAP dan Amanah terus memberikan tekanan kepada Dr. Mahathir untuk memberi ruang kepada Anwar mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.