Saya minum, menari, adakah imej sebagai menteri tak bagus?
Tiong King Sing menyelar ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful supaya tidak mencampuri urusannya.

KUALA LUMPUR 2 Nov. – “Saya minum, saya menari, adakah imej sebagai menteri tidak bagus? Pergi tengoklah rakyat komen macam mana kamu sekarang, kena tuduh sebagai rasuah.”
Itu kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang memulangkan paku buah keras kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya tidak mencampuri urusannya.
Menurut King Sing, Wan Saiful sepatutnya menghormati budaya, kaum dan agama lain.
Ahli Parlimen Bintulu itu juga menasihati Wan Saiful supaya menjaga imej dirinya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini terpalit dengan kes di mahkamah.
Beliau menegaskan amat menghormati budaya mana-mana kaum atau agama lain termasuk Islam, jadi mahu bekas Ketua Penerangan Bersatu itu turut sama menghormatinya.
“Kamu punya parti hari-hari cerita orang rasuah tetapi akhir sekali kamu sendiri (dan) parti banyak orang rasuah.
“Jagalah imej parti kamu dulu terutama imej kamu sendiri jangan ‘kong kali kong’ cerita imej saya pula.
“Saya mahu beritahu Wan Saiful, kalau kamu tidak pandai menghormati masyarakat berbilang kaum, kamu sebagai pemimpin Bersatu (patut) malu kata saya mabuk.
“Saya sudah beritahu, saya minum memang saya main dengan budak-budak, main-main bising macam mabuk apa salahnya?
“Saya tak tuduh kamu (jadi) jangan tuduh saya. Buktikan saya mabuk. Jika saya mabuk sekali pun adakah saya buat kesalahan? Kalau saya buat kesalahan baru soal,” katanya dalam rakaman video di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, King Sing dalam kenyataan di Facebook menegaskan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah dilemparkan Wan Saiful kerana tidak mempunyai bukti bahawa dirinya mabuk.
Beliau juga mengingatkan Wan Saiful supaya tidak menangguk di air keruh sehingga sanggup mempergunakan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri.
“Saya juga menggesa semua pemimpin politik untuk memimpin melalui teladan dan menunjukkan rasa hormat kepada semua agama dan budaya bagi memastikan negara kita terus maju dan membangun untuk kepentingan rakyat.
“Jika ini berlarutan, isu kaum dan agama akan terus dipermainkan tanpa berkesudahan malah ia akan membawa kepada kemusnahan negara yang sekali gus menyebabkan pelaburan asing dan pelancong ‘menolak’ Malaysia,” katanya.
Semalam, Wan Saiful dalam hantaran di Facebook menyelar King Sing supaya tidak memainkan sentimen agama untuk kepentingan diri.
Wan Saiful menegaskan, tindakan King Sing yang mabuk di khalayak ramai merupakan akhlak buruk tanpa mengira agama atau bangsa.
Malah, kata beliau, ia juga merupakan isu etika kelakuan sebagai menteri yang merupakan ketua kepada penjawat awam di sesebuah kementerian. — Xklusif