Saya tak campur tangan – Anwar
Anwar menegaskan keputusan lepas tanpa bebas Ahmad Zahid adalah sepenuhnya ditangan Peguam Negara

JAKARTA 6 Sept – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak campur tangan dalam urusan Jabatan Peguam Negara menghentikan pendakwaan ke atas kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.
Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara memiliki kuasa penuh terhadap kes itu dan jabatan itu juga sudah membuat penjelasan mengenainya.
“Jabatan Peguam Negara mempunyai kuasa penuh terhadap kes ini dan ia sudah membuat penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ‘Temu Anwar’ di sini malam tadi.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan tanpa melepaskan Ahmad Zahid daripada 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Pejabat Peguam Negara semalam pula menjelaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya, dibuat berdasarkan alasan yang dikemuka dan diterima oleh mahkamah.
Jabatan Peguam Negara memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan itu sudah menyatakan alasan dikemuka pihak pendakwaan adalah kukuh.
“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemuka dan telah pun diterima oleh mahkamah.
“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan alasan-alasan yang dikemuka oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” kata Pejabat Peguam Negara.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan Sidang Berkaitan memutuskan Filipina akan mempengerusikan ASEAN pada 2026 yang diambil alih dari Myanmar pada tahun berkenaan.
“Tahun depan Laos akan mempengerusikan ASEAN diikuti oleh Malaysia. Myanmar sepatutnya mengambil alih selepas itu, tetapi kami mencapai kata sepakat berikutan isu dalaman di Myanmar, kita mengambil keputusan digantikan dengan Filipina.
“Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr bersetuju. Ini adalah perkembangan yang positif,” katanya.
Sementara itu, tenaga kerja Indonesia yang tidak memiliki dokumen, Anwar berkata meskipun soal dokumen adalah hal yang serius, kerajaan Malaysia tetap menanganinya dengan baik, tanpa pendakwaan di mahkamah.
“Kalau yang sudah ditangkap, dikirim (dihantar) pulang, dan kita mempercepatkan proses itu,” katanya.
Perdana Menteri ditanya oleh media tempatan mengenai proses kemajuan dalam menguruskan masalah TKI di Malaysia, selepas kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada Jun lalu.
Menyentuh mengenai isu Laut China Selatan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN semalam, Anwar berkata:
“Kita ada pendirian dan menegaskan supaya ASEAN ada pendirian yang sama untuk pertahankan hak kita dan berunding dengan baik dengan China.” katanya. – Berita Harian