Saya tak fitnah Guan Eng – Azmin
Azmin juga menafikan dia menyebut perkataan 'langsi' ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Lunas, Kedah, pada 12 Nov tahun lepas
KUALA LUMPUR 29 Sept – Pemimpin Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali menafikan dakwaan dia mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap Lim Guan Eng berhubung saman fitnah yang dikemukakan pengerusi DAP itu.
Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman berkenaan, Azmin juga menafikan dia menyebut perkataan ‘langsi’ ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Lunas, Kedah, pada 12 Nov tahun lepas.
Dalam mengemukakan pembelaan justifikasi (bersedia membuktikan kenyataan di mahkamah), Azmin mendakwa ucapannya adalah berdasarkan apa yang dikatakan Lim secara terbuka berhubung MCA menjadi saingan DAP (kedua-dua parti kini adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. )
Pada Ogos tahun ini, Lim memfailkan saman Lim terhadap Azmin berhubung antara lain mengenai dakwaan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digunakan untuk mengejar syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan MCA.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani pada Isnin lalu, Azmin memberikan beberapa artikel untuk mengukuhkan pembelaan justifikasi, antaranya bertarikh 12 Okt 2019.
Laporan berita itu adalah mengenai pertikaman lidah antara Lim dan presiden MAC Wee Ka Siong di parlimen, di mana menteri kewangan ketika itu berkata kerajaan akan menyalurkan dana RM60 juta kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) milik MCA jika parti itu sanggup melepaskan hak miliknya terhadap institusi pengajian tinggi swasta itu.
“Defendan menegaskan bahawa defendan tidak pernah berniat untuk memfitnah plaintif, bahkan hanya menyatakan perkara-perkara yang berlaku semasa plaintif bersama defendan menerajui kerajaan Pakatan Harapan sejak Mei 2018 hingga Mac 2020,” dakwa Azmin dalam pemfailan mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini.
Ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020, Lim adalah menteri kewangan manakala Azmin merupakan menteri hal ehwal ekonomi.
Azmin berkata ucapannya hanya mengkritik pentadbiran PH ketika itu di mana Lim adalah sebahagian daripada kerajaan, berhubung dasar kerajaan ketika itu terhadap beberapa syarikat.
Defendan juga menyebut pembelaan komen yang adil, dan mengatakan orang awam mempunyai hak untuk mengetahui perkara-perkara yang berkepentingan awam, seperti apa yang diperkatakan Lim selaku menteri kewangan ketika itu.
Azmin juga menegaskan Lim tidak mengalami apa-apa keaiban daripada pernyataan menyinggung tersebut memandangkan Lim masih memenangi kerusi parlimen Bagan pada PRU15.- Malaysiakini