Sukan

Saya tak nampak ‘team’ lain mampu saingi JDT – Azraai Khor

JDT dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia apabila saingan trofi berprestij bola sepak negara itu menyingkap tirai pada Khamis.

Malah, menurut jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, perancangan pendahulu Liga Super itu untuk mengekalkan trofi kejuaraan 2022 berada di landasan terbaik pada ketika ini.

“Sejujurnya dari pengamatan saya, momentum JDT sememangnya sukar ditandingi pada musim ini, untuk saingan liga sahaja mereka sudah meninggalkan jauh pasukan lain.

“Saya tidak nampak pasukan lain Liga Malaysia dapat menyaingi JDT dengan momentum mereka yang kini berada pada prestasi kemuncak.

“Saingan musim ini banyak menyebelahi JDT, baik dari segi perancangan jurulatih dan kualiti pemain yang dibuktikan apabila mereka berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA baru-baru ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Harimau Selatan kendalian pengendali Esteban Solari akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan melayan Kelantan FC dalam perlawanan pusingan 16 timbal balik pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Sebagai rekod, Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor FC, 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Tambah Mohd Azraai, kekuatan barisan pemain Harimau Selatan di bangku simpanan juga setanding dengan kesebelasan utama juara Liga Super sembilan kali berturut-turut tersebut.

“Sekiranya pasukan lawan bermain taktikal defensif yang menyebabkan para pemain JDT keletihan, barisan pemain gantian JDT masih mampu deliver sama seperti pemain kesebelasan utama.

“Jadi ini antara kelebihan yang saya lihat lebih memihak kepada JDT yang tidak dimiliki pasukan lain, dan setiap musim mereka akan tampil lebih baik dengan pasukan lebih berkualiti.

“Biarpun JDT lebih dominan musim ini, saya percaya setiap pasukan Liga Malaysia lain masih mampu memberi cabaran kepada kelab terbaik Malaysia ini,” katanya yang meramalkan Harimau Selatan akan mengekalkan tiga kejuaraan utama dimenangi musim lalu. — Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button