‘Saya tinggalkan satu mata, satu telinga di Johor, jangan terkejut saya tiba-tiba menjelma’ – Agong
Seri Paduka Baginda bertitah demikian dalam satu video yang dimuat naik di Instagram rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis
KUALA LUMPUR 1 Feb -“Saya tinggalkan satu mata dan satu telinga di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. (Orang Johor) jangan terkejut, saya akan tiba-tiba menjelma ke mana-mana daerah,” titah Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian dalam satu video yang dimuat naik di Instagram rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan penduduk Johor bahawa Seri Paduka Baginda akan sentiasa pulang ke Johor.
“Saya harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah Seri Paduka Baginda lagi.
Dalam pada itu, Seri Paduka yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa Rabu bertitah bahawa amanah itu bukan kenaikan pangkat, sebaliknya tambahan tanggungjawab sebagai ketua negara kepada 33 juta rakyat Malaysia.
“Jadi Agong bukan naik pangkat, ini adalah tambahan tanggungjawab.
“Saya mewakili raja-raja lain. Makin berat but it’s a duty call, my right to serve,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim turut menyifatkan masa berlalu dengan pantas sehinggakan Seri Paduka sendiri tidak perasan.
“Saya tak perasan hari bulan jalan laju, makin laju,” titah Seri Paduka.
Bergelar ketua negara, Seri Paduka mengakui bimbang untuk memikul jawatan itu.
“Saya takut, I cannot carry the job. But I’ll try my best, the first thing is rakyat must be protected.
“Lidi sepatah mudah dipatah, secekak tak mudah dipatah. Saya ingat itu,” titah Seri Paduka Baginda lagi. – Awani