Scam pelaburan: Akauntan rugi RM1.33 juta
Mangsa menyedari dia ditipu apabila diminta duit tambahan untuk membuat pengeluaran duitnya.

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Seorang akauntan berusia 42 tahun kehilangan wang simpanan bernilai RM1.33 juta selepas terjerumus dengan penipuan pelaburan dalam talian palsu.
Ketua Polis Johor, M. Kumar berkata, mangsa kehilangan wang selepas memuat turun aplikasi bernama “Fidelity Max” melalui Play Store.
“Mangsa pernah terjumpa iklan pelaburan melalui media sosial pada Oktober lalu yang menjanjikan pulangan tinggi.
“Dia kemudian menghubungi seorang individu melalui WhatsApp yang berkongsi dengannya cara membeli saham syarikat dari dalam dan luar negara.
“Selepas mendaftar di aplikasi itu, mangsa membuat pembayaran ke beberapa akaun antara Oktober dan Januari,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut M Kumar, dia kemudian menyedari pelaburannya telah mengaut keuntungan besar dan memutuskan untuk mengeluarkan wang itu tetapi hanya menerima RM2,000.
“Pelbagai alasan diberikan ketika dia ingin mengeluarkan duitnya, dan dia hanya menyedari bahawa dia telah ditipu selepas dia diminta membuat bayaran lain untuk pengeluaran itu,” katanya.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada Ahad lalu.
Mereka yang ingin membuat pemindahan wang dalam talian dinasihatkan untuk menyemak nombor akaun bank pada aplikasi Semak Mule atau https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum berbuat demikian, atau memuat turun aplikasi Whoscall untuk mengurangkan risiko ditipu. — Xklusif