Berita

Sebar berita palsu, mahkamah tangguh keputusan bicara Lokman Adam 7 November ini

Pada 1 Oktober 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual berkaitan kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran Covid-19

KUALA LUMPUR 23 Okt – Keputusan kes membabitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam, atas dakwaan menyebarkan berita palsu berkaitan kemasukan warga India penyebab penyebaran Covid-19 ditangguh ke 7 November depan.

Hakim Mahkamah Sesyen N Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu hari ini, selepas mendapati nota keterangan di akhir kes pendakwaan masih belum disediakan.

Susulan itu, peguam bela Lokman, Logen Eskander, memohon maaf kepada mahkamah di atas salah faham yang timbul.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual berkaitan kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran Covid-19 melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil ‘Lokman Adam’.

Ia dikatakan dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam pada jam 10.55 malam, 3 Mei 2021 yang kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada jam 4.40 petang, 9 Mei tahun sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 23 Jun lalu, Lokman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas satu lagi tuduhan menyebarkan berita palsu menerusi Facebook membabitkan kematian seorang pegawai polis susulan suntikan vaksin Covid-19, dua tahun lalu.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada peringkat akhir kesnya.

Pemimpin Umno itu berdepan pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook menggunakan profil ‘Lokman Adam’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Ia menerusi rakaman audio visual berhubung dakwaan kematian pegawai polis dikenali Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang juga Ketua Cawangan Khas Polis Pahang, beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button