Hiburan

Sebelum Mentega Terbang, 4 filem tempatan ini pernah diharamkan di Malaysia

KUALA LUMPUR, Mac 7 – Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kontroversi filem berjudul Mentega Terbang yang telah menerima kecaman pelbagai pihak kerana beberapa babak dan skrip yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Malah, semalam media melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak lapan laporan, di mana satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem Mentega Terbang.

Bagaimanapun, filem Mentega Terbang ini bukanlah satu-satunya filem tempatan yang pernah diharamkan sebelum ini di Malaysia, sebaliknya terdapat beberapa buah filem yang turut menerima nasib sama.

Ini kerana, kebanyakan filem yang diharamkan itu gagal melepasi syarat Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi tayangan di pawagam atas beberapa sebab antaranya menyentuh sensitiviti agama dan perkauman, berunsur provokatif atau mengandungi adegan atau unsur seks dan keganasan melampau.

1. Daulat

Filem Daulat menampilkan barisan pelakon Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya Chin, Cristina Suzanne dan Zul Zamir tidak mendapat kelulusan LPF berikutan membawakan naratif kisah politik.

Filem ini sepatutnya ditayangkan pada 2021 tapi oleh kerana gagal melepasi syarat tayangan filem LPF, filem bergenre ‘political thriller’ itu ditayangkan di platform servis hiburan atas permintaan (VOD, Iflix.

2. Babi

Nama filem pun sudah cetus kontroversi walaupun tiada haiwan itu ditonjolkan dalam filem arahan Namawee ini. Terkenal dengan filem-filem yang menyentuh isu sosial dan sindiran yang dianggap boleh mencetuskan isu perkauman, filem ini antara beberapa naskhah Namawee yang gagal lepas LPF.

Dijadual ditayangkan pada 2020, kisah filem ini dikatakan adalah berdasarkan siri rusuhan kaum sebenar yang berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di selatan Malaysia pada 2000.

Sungguhpun dihasilkan di Malaysia, Namewee mendakwa bahawa filem ini telah diharamkan di Malaysia disebabkan oleh sifat filem yang berunsur provokatif (menghasut) dalam aspek perkauman.

3. Bukak Api

Mungkin tiada siapa yang ingat tentang kewujudan filem ini tetapi naskhah arahan Osman Ali ini tidak pernah mendapat kelulusan untuk ditayangkan di layar perak.

Bukak Api merupakan filem dokumentari tahun 2000 mengenai mak nyah (transgender lelaki-kepada-wanita) bertujuan mendidik masyarakat tentang golongan tersebut.

Filem ini mengandungi beberapa elemen yang terlarang menurut undang-undang Malaysia termasuklah penggunaan perkataan carutan dan kata-kata kesat yang lain, babak individu separuh bogel dan babak seks.

Walaupun penerbit mendakwa ia paparan realiti kehidupan sebenar golongan itu di lorong belakang, tapi pastilah babak-babak yang tidak sepatutnya dipaparkan kepada umum, lebih-lebih lagi pelakonnya pun orang Melayu.

4. Dukun

Filem ini pernah diharamkan untuk ditayangkan sebelum ini kerana jalan cerita filem ini diangkat dari kisah benar pembunuhan ahli politik oleh Mona Fandey pada tahun 1993.

Filem yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2006 lakonan hebat Umie Aida diharamkan oleh LPF kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.

Bagaimanapun selepas 12 tahun, filem sulung arahan Dain Said yang dinanti-nantikan oleh orang ramai ketika itu akhirnya ditayangkan pada tahun 2018 selepas LPF menarik balik pengharaman tersebut. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button