Segamat ‘gegar’ lagi dengan gempa bumi, kali ini magnitud 3.2

SATU lagi gempa bumi lemah dilaporkan melanda kawasan Segamat, Johor pada pukul 8.59 pagi tadi dengan magnitud 3.2.
Ia merupakan gempa bumi lemah ketiga yang berlaku di kawasan sama selepas kali pertama dikesan Ahad lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, gegaran gempa bumi tersebut berpusat di koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer, kira-kira 18 kilometer di selatan Segamat, Johor.
“Gegaran dirasai di kebanyakan kawasan di Johor dan selatan Pahang. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini.
“Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dapat mengisi borang soal selidik di pautan https://forms.gle/JMGSQhuAKdtwWn2a7,” menurut hantaran tersebut.
Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan dua kali kejadian gempa bumi lemah di Johor masing-masing berlaku pada pukul 6.13 pagi dan 9 pagi, 24 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Noorazhar Ngatimin dilaporkan berkata, kerak benua di Semenanjung Malaysia masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba sehingga boleh menyebabkan berlakunya gempa bumi.
Katanya, semakan awal peta geologi menunjukkan pusat gempa Segamat yang berlaku Sabtu lalu terletak berhampiran lanjutan Zon Sesar Mersing, yang berorientasi Barat-Barat Laut hingga Timur-Tenggara.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan memaklumkan bahawa tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.








