Sekarang dah banyak masa nak bantu negeri PAS – Tun M
Ketika menjadi PM, Tun M perlu memberi perhatian kepada negara secara keseluruhan

KUALA LUMPUR 11 Okt – Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau kini mempunyai banyak masa untuk bantu negeri diperintah PAS berbanding ketika menjadi perdana menteri.
Bekas perdana menteri itu berkata semasa mengetuai kerajaan persekutuan selama lebih 22 tahun, tumpuannya ketika itu semestinya kepada negara secara keseluruhan, dengan pembangunan tiap negeri dipertanggungjawab kepada pentadbiran masing-masing.
“Sekarang selepas tidak lagi jadi perdana menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4,” katanya di Facebook, tentang pertemuan dengan menteri besar Perlis semalam.
SG4 merujuk empat negeri diperintah PAS iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar bulan lalu mengumumkan kerjasama antara mereka dengan Mahathir memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi, berkait urusan pentadbiran dan pelabur asing.
Mahathir berkata SG4 tumpu kepada meningkatkan kegiatan ekonomi dan pelaburan melalui bidang kuasa sedia ada serta sumber dan aset negeri.
Umpamanya cuaca panas di Perlis sesuai untuk projek tenaga solar besar-besaran, katanya.
“Walaupun Perlis tidak menonjol berbanding negeri lain dan sumber pendapatannya terhad, sebenarnya negeri ini punyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau juga berkata tanah-tanah kosong yang terbiar di negeri itu sesuai untuk tanaman pokok jati yang bernilai tinggi.
“Apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada,” katanya. – Xklusif