Dunia

Sekurang-kurangnya 10 maut, 30 cedera selepas kenderaan rempuh orang ramai di New Orleans

Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 30 lagi dibawa ke hospital selepas sebuah kenderaan merempuh orang ramai di French Quarter, New Orleans.

Pasukan penyelamat kini “sedang menangani insiden kecemasan besar-besaran melibatkan sebuah kenderaan yang merempuh orang ramai di Jalan Canal dan Bourbon,” lapor agensi berita Jerman (dpa), memetik kenyataan pihak berkuasa bandar raya itu.

Terdahulu, penyiar CBS News melaporkan saksi melihat sebuah trak dipandu laju ke arah orang ramai di Jalan Bourbon sebelum pemandunya keluar daripada kenderaan dan melepaskan tembakan.

Rakaman oleh WWLTV menunjukkan sejumlah besar pasukan kecemasan berada di lokasi kejadian.

Seorang wartawan stesen itu melaporkan pihak polis telah mengosongkan beberapa restoran dan bar di Jalan Bourbon.

Kejadian rempuhan di New Orleans bukan serangan pengganas – FBI

Sementara itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat mengesahkan insiden rempuhan kenderaan di New Orleans tidak diklasifikasikan sebagai serangan pengganas, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Ejen Khas FBI, Alethea Duncan, pada Rabu.

Menurut CBS News, seorang pemandu trak merempuh orang ramai di New Orleans sebelum keluar daripada kenderaan dan melepaskan tembakan.

Saksi melaporkan trak itu dipandu pada kelajuan tinggi ke arah orang ramai di Jalan Bourbon, diikuti tindakan pemandu keluar dan menembak, dengan pihak polis membalas tembakan.

ABC News pula memetik kenyataan pihak polis dan pegawai bandar bahawa sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 30 lagi cedera dalam kejadian itu, manakala pemandu terlibat ditembak mati oleh polis.

“Kami akan mengambil alih siasatan kes ini. Ia bukan insiden keganasan. Ketika ini, terdapat bahan letupan buatan yang ditemukan, dan kami sedang mengesahkan sama ada ia benar-benar berfungsi atau tidak,” kata Duncan pada sidang media.

Superintendan Jabatan Polis New Orleans, Anne Kirkpatrick menyatakan pemandu itu bertindak secara sengaja, menolak kemungkinan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah (DUI).

“Individu ini cuba merempuh seramai mungkin orang. Ini bukan kes DUI. Berdasarkan maklumat yang kami ada, ia lebih kompleks dan serius. Dengan bilangan mangsa yang diketahui sekarang, yang mungkin berubah sepanjang hari, terdapat 26 orang cedera,” katanya.

Beliau turut mengesahkan 10 orang terbunuh dalam kejadian itu.

“Apa yang boleh saya kongsikan, individu ini, suspek, telah melepaskan tembakan ke arah pegawai kami dari kenderaannya selepas merempuh orang ramai. Dua pegawai kami terkena tembakan, namun mereka kini dalam keadaan stabil,” kata Kirkpatrick. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Artikel Berkaitan

Back to top button