Politik

Selangor dah jadi negeri hebat, tak perlu tunggu PN – Amirudin

Selangor di bawah jagaan beliau sudah pun menjadi negeri hebat terutama melalui pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama negeri berkenaan.

KUALA LUMPUR 30 Julai – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membidas kenyataan pemimpin BERSATU yang mendakwa parti pembangkang boleh membangunkan Selangor menjadi ‘Super State’ (negeri hebat) sekiranya mereka mentadbir kerajaan selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Amirudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang membuat kenyataan itu perlukan perancangan menyeluruh untuk membangunkan Selangor menjadi negeri hebat.

Tegasnya, Selangor di bawah jagaan beliau sudah pun menjadi negeri hebat terutama melalui pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama negeri berkenaan.

“Mereka (pembangkang) sentiasa bercakap tentang perubahan tetapi saya tidak pernah mendengar rancangan mereka.

“Mereka kata mahu menjadikan Selangor sebagai ‘super state’ tetapi bagaimana? Bagi saya, saya tidak perlu menunggu belanjawan atau pilihan raya baharu. Tahun lalu, saya melaksanakan rancangan Selangor Pertama yang membabitkan lebih 200 projek,” katanya berucap dalam Ceramah Mega Arus Merah Kuning di Subang Bestari, malam tadi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; calon pakatan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Kota Damansara, Mohammad Izuan Ahmad Kasim; calon pakatan PH-BN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan calon pakatan PH-BN Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Tambahnya, berikutan Selangor kini menyumbang kepada 25 peratus ekonomi negara, keutamaan sepatutnya adalah untuk meneruskan pembangunannya.

Terdahulu, Saifuddin dipetik sebagai berkata Perikatan Nasional (PN) akan memastikan Selangor dibangunkan sepenuhnya jika ia memenangi pilihan raya akan datang di negeri itu.

Saifuddin berkata Amirudin gagal merealisasikan visi ‘super state’. Ketua PH Selangor itu juga perlu menumpukan perhatian kepada membangunkan negeri dan bukannya bermegah-megah dengan kemenangannya ke atas Datuk Seri Azmin Ali.

Menurut Saifuddin, visi untuk membina Selangor sebagai ‘super state’ sudah wujud ketika Azmin Ali menjadi menteri besar, tetapi Amirudin, penggantinya, gagal merealisasikannya. —Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button