Selangor paling ramai daftar PADU
Data dikeluarkan dalam laman rasmi Facebook PADU memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, rakyat di Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi dengan 243,851 orang, diikuti Sarawak (137,036) dan Johor (128,193)

KUALA LUMPUR 18 Jan – Seramai 1,214,859 rakyat di negara ini sudah mengemaskini pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat tengah malam tadi.
Data dikeluarkan dalam laman rasmi Facebook PADU memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, rakyat di Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi dengan 243,851 orang, diikuti Sarawak (137,036) dan Johor (128,193).
Selain itu Perak dengan 107,448 pendaftaran, diikuti Sabah 94,541, Kedah (77,557), Kelantan (63,060), Pahang (59,088), Negeri Sembilan (58,787), Melaka (38,134), Perlis (12,249), Wilayah Persekutuan (6,176) dan paling rendah adalah Labuan (3,258).
Sistem PADU sebelum ini dibuka pendaftaran kepada seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas bermula 2 Januari lalu sehingga 31 Mac ini bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan 39 maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
Ia mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, ia juga adalah pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Menerusi laman sesawang PADU, ia memaklumkan objektif PADU adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Matlamat PADU pula adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, melaksanakan pengukuhan dalam penggunaan sumber yang terhad, melaksanakan pemerkasaan sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat dan mengimbangi pembangunan. – Xklusif