Berita

Selepas 90 tahun, baru dapat jejak kaki di rumah Abdul Hadi – Tun M

Tun M turut mendoakan Abdul Hadi dikurniakan kekuatan dan kesihatan berpanjangan.

KUALA LUMPUR 4 Nov. – “Saya singgah ziarah Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Marang dan sempat berseloroh selepas 90 tahun lebih, barulah saya dapat jejak kaki ke rumah kampungnya,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menerusi perkongsian di media sosial beliau turut mendoakan agar Abdul Hadi dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjang.

Kelmarin, Dr Mahathir yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan Negara melawat dua syarikat perusahaan makanan di Kuala Terengganu semasa lawatan kerja beliau ke Terengganu sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).

Menurut Dr Mahathir, beliau berbangga kerana ada pengusaha Melayu yang menggunakan cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk dieksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain.

“Apabila sesuatu industri diadakan, ianya membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan sekeliling. Selain itu, keperluan logistik menghantar produk itu tadi juga adalah peluang kerja kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu.

“Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung. Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan.

“Jika kita masak secara manual dalam jumlah sedikit, ini sekadar memenuhi permintaan sekeliling kita sahaja. Tetapi jika kita guna mesin atau jentera dan adaptasi kaedah pengeluaran secara besar-besaran, bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai.

“Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau mendapati Terengganu sudah melakukan banyak kemajuan selain mempunyai banyak pelan kemajuan negeri.

Katanya, banyak pelan kerja sudah dilaksana dan tidak memerlukan bantuan beliau kecuali beberapa bidang tertentu di Negeri Darul Iman itu. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button