Berita

Selepas dibebaskan SPRM, Datuk Malik akhirnya buka mulut

Malik, yang juga pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, terkenal membawa artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia.

KUALA LUMPUR 28 Julai – Ahli perniagaan, Abdul Malik Dasthigeer atau lebih dikenali sebagai Datuk Malik akhirnya membuka mulut selepas dibebaskan Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Abdul Malik berkata, dia memberi kerjasama penuh kepada SPRM selepas ditahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

“Saya sedia beri kerjasama kepada SPRM dan memberi maklumat yang diperlukan untuk membantu siasatan kes.

“Saya juga terharu dengan sokongan semua dan mohon doa yang terbaik. Kita harap keadilan akan terbukti,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Datuk David juga memaklumkan yang Abdul Malik telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

“Kita harap dapat satu keputusan yang positif dalam kes ini,” katanya.

Untuk rekod, Malik, yang juga pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, terkenal membawa artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia.

Malik Group of Companies terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button