Selepas hospital, 4 sekolah di Gaza jadi sasaran bom Israel
Menerusi serangan itu, kira-kira 20 penduduk Palestin terbunuh.

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Lebih 20 penduduk Palestin terbunuh manakala hampir 40 lagi cedera apabila empat buah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan orang awam di Semenanjung Gaza dibom tentera Israel pada Khamis iaitu hari ke-27 konflik antara Hamas-Israel.
Pesuruhjaya Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Paletin Philippe Lazzarini berkata, semua kemudahan yang kini rosak itu dihuni kira-kira 20,000 penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal akibat konflik tersebut.
Katanya, dalam serangan sebuah sekolah di kem pelarian Jabalia/Jabalya, serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin manakala lima lagi cedera.
Menurutnya, serangan ke atas sebuah lagi sekolah UNRWA di kem pelarian Beach di utara Gaza mengakibatan seorang kanak-kanak maut.
Selain itu, dua buah sekolah di kem pelarian Al Bureij turut dibom tentera rejim mengakibatkan 2 maut manakala 31 lagi cedera.
“Sejak perang bermula pada 7 Oktober, hampir 50 bangunan dan aset UNRWA terjejas, dengan beberapa kemudahan itu terkena impak serangan secara langsung.
“Seperti serangan hari ini, termasuk bangunan UNRWA yang digunakan sebagai tempat perlindungan di mana UNRWA kini menempatkan kira-kira 700,000 penduduk Palestin. Sebanyak 25 tempat perlindungan ini berada di utara Gaza, menempatkan 112,000 orang,” kata Lazzarini menurut Al Jazeera.
Beliau menambah, selain kemudahan itu, sekurang-kurangnya 72 kakitangan UNRWA turut terbunuh dalam perang kali ini.
Sementara itu,serangan menggila Israel semalam turut menjadikan pasukan kecemasan dan ambulans Palestin di Gaza City sebagai sasaran serangan.
Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dalam perkongsian video menunjukkan kejadian selepas serangan itu yang berlaku di Rashid Street.
Video itu menunjukkan seorang petugas sebuah ambulans, Bahaa Badr al-Din sedang mendapatkan rawatan perubatan selepas cedera akibat serangan itu.
Agensi itu juga berkongsi rakaman ambulans yang rosak, menunjukkan apa yang kelihatan seperti lubang akibat tembakan peluru.
Serangan udara Israel semalam turut meragut nyawa seorang wartawan televisyen Palestin, Mohamamad Abu Hattab, lapor Agensi Berita Palestin, WAFA.
Dalam serangan di Khan Yunis di selatan Gaza itu turut meragut 11 ahli keluarga wartawan berkenaan.
Sementara itu, PRCS berkata, sebanyak 102 buah trak memasuki Gaza dari Rafah semalam namun bantuan itu tidak membawa bahan api yang penting untuk hospital beroperasi.
Kementerian kesihatan di Gaza melaporkan, lebih 9,000 penduduk Palestin terbunuh akibat konflik yang bermula sejak 7 Oktober lalu. — Xklusif