Selepas MAS, pesawat Japan Airlines pula berpatah balik akibat enjin terbakar

SEBUAH pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) yang menuju ke Osaka melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Aomori Jepun, petang tadi menurut laporan media tempatan.
Xinhua melaporkan menurut laporan stesen penyiaran tempatan, Aomori Television, yang memetik pihak berkuasa menyatakan enjin pesawat yang sedang berlepas itu disyaki terbakar.
Kejadian berlaku pada jam 1.15 petang waktu tempatan, membabitkan pesawat – JAL 2154 yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Osaka.
Sebaik saja berlepas, pesawat itu mengalami masalah enjin, memaksa pesawat itu berpatah balik, dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Aomori tepat jam 2.00 petang.
Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan 47 penumpang dan ahli krew yang berada di dalam pesawat.
Pihak berkuasa menyatakan api dilihat keluar dari enjin kiri semasa penerbangan.
Japan Airlines dengan segera mengatur semula penumpang ke dua penerbangan lain bagi meneruskan perjalanan mereka.
Pesawat itu kekal diparkir di Lapangan Terbang Aomori sementara siasatan terperinci mengenai punca masalah enjin masih dijalankan.