Selepas Nenggiri, BN siap siaga hadapi PRK Mahkota
Barisan Nasional (BN) bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada Jumaat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagi pihak UMNO dan BN, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Insya-Allah kita akan dengar pengumuman yang akan dibuat selepas Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) membuat mesyuarat.
“Kita akan bersiap siaga selepas PRK Nenggiri untuk hadapi PRK Mahkota pula,” katanya pada sidang media di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang baru-baru ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Pilihan Raya BN PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah.
Media semalam melaporkan, DUN Mahkota, Sharifah Azizah meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari Jumaat.