Berita

Selesaikan segera masalah rakyat, tiada tempoh bulan madu – PM

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi dan dikongsi dalam media sosialnya, hari ini

KUALA LUMPUR 13 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua menteri dan timbalan mengenai tiada tempoh berbulan madu setelah pelantikan dibuat, sebaliknya terus menggalas tanggungjawab dengan menyelesaikan masalah rakyat dengan segera.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi dan dikongsi dalam media sosialnya, hari ini.

“Saya turut titip pesan agar tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah dan pantas dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat.

“Tiada tempoh berbulan madu buat mana-mana anggota Kabinet, sebaliknya saya tuntut hasil untuk kerajaan ini segera menyelesaikan masalah rakyat, menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Rombakan Jemaah Menteri menyaksikan jumlah keseluruhan anggota pentadbiran meningkat kepada 60, berbanding 55 orang sebelum ini.

Bilangan menteri meningkat kepada 31 orang berbanding 28, manakala jumlah timbalan menteri menjadi 29 orang daripada 27.

Anwar dalam masa yang sama turut mengalu-alukan kebersamaan ahli-ahli jemaah menteri yang baru dilantik iaitu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

“Dalam mesyuarat ini, saya tekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing. Mesyuarat juga mengutus penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar sumbangan yang telah diberikan,” ujarnya.

Sivakumar yang memegang portfolio Menteri Sumber Manusia sebelum ini digugurkan daripada senarai Ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Beliau merupakan satu-satunya Ahli Parlimen yang digugurkan jawatan bertaraf menteri.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini diambil Steven Sim Chee Keong bersama timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Turut digugurkan, dua Timbalan Menteri iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching. – Xklusif 

Artikel Berkaitan

Back to top button