Seluruh negara dijangka alami hujan, ribut petir hingga Rabu
Keadaan cuaca terbabit diramal berlanjutan sehingga ke sebelah malam.
KUALA LUMPUR 11 Dis – Kebanyakan negeri di seluruh negara diramal hujan dan ribut petir bermula hari ini sehingga Rabu.
Ia berdasarkan jadual ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikongsi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di laman X rasminya hari ini.
Mengikut ramalan, hari ini hujan dijangka pada satu dua tempat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah sebelah pagi.
Sebelah petang nanti, ribut petir diramal pada satu dua tempat di ibu kota dan Putrajaya, selain di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Keadaan cuaca terbabit diramal berlanjutan sehingga ke sebelah malam.
Pada esok, cuaca pada sebelah pagi di beberapa negeri diramal hujan merangkumi beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Johor selain Sandakan dan Kudat di Sabah.
Bagaimanapun, cuaca sebelah petang diramal akan dilanda ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, ibu kota, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Melaka serta Sabah dan Sarawak.
MetMalaysia meramalkan ribut petir akan berlarutan di beberapa negeri iaitu Pahang dan Sarawak (Kuching dan Samarahan).
Rabu ini, pada sebelah pagi, hujan diramal berlaku di beberapa tempat di Pahang selain Sandakan dan Kudat di Sabah. Selain itu, ribut petir diramal juga di beberapa kawasan di Sarawak.
Pada sebelah petang pula, hujan dan ribut petir diramal di kebanyakan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
Hujan diramal akan berlarutan sehingga malam membabitkan kebanyakan negeri. – Xklusif