‘Sempat ke tunggu 148 tahun nak tunai haji?’

KUALA LUMPUR 14 Jun – Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan tempoh giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang berkata, pada masa ini, lebih 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Justeru, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia mengingatkan jemaah haji yang terpilih supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang berada di Tanah Suci dengan melakukan amal ibadat.
“Kita kena berpegang kepada dua kata kunci iaitu syukur dan sabar. Syukur sebab kita dapat berada di Tanah Suci selepas menunggu sekian lama serta sabar dengan setiap dugaan termasuk karenah teman sebilik dan cuaca panas sepanjang perjalanan haji ini,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pelantikan Sahabat Maktab di Makkah.
TH menggunakan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” yang telah dilaksanakan sejak dari 1995.
Bagaimanapun, perkhabaran itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang merasakan tempoh itu terlalu lama lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada di pertengahan umur.
Malah, ada warganet yang beranggapan TH tidak melakukan yang terbaik untuk memastikan umat Islam di Malaysia sempat menunaikan haji sebelum hari tua.
“Dicanang-canang bahawa pengurusan TH Malaysia adalah terbaik di dunia.. tapi dalam bab menunggu giliran boleh pula tunggu selama itu. Sempat ke nak tunggu sampai 148 tahun tu?,” kata Mo Kok.
“Kita cadang wujudkan TH yang kedua kerana TH sedia ada tidak mampu memenuhi hasrat penyimpan untuk ke tanah suci walaupun simpanan sudah mencukupi akibat ikut giliran tambahan pula ada yang sudah menunai haji dapat pergi lagi maka golongan menunggu terus meningkat. Akhir sekali sia sia menyimpan,” kata Azman Ahmad.
“Habis tu bila rakyat boleh tunai haji macam ni? Berapa keturunan baru boleh sampai giliran tu. Rakyat sanggup ikat perut nak tunai haji tapi TH macam tiada usaha nak cepatkan giliran,” kata Hasnul Abdul. — Xklusif