Berita

Semua MB dan KM yang minta pelarasan tarif air – PM

Dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri, ada negeri tidak naikkan (tarif air) lebih 40 tahun, jadi mereka mengusulkannya dan Kerajaan Persekutuan setuju

CYBERJAYA 18 Jan – Kerajaan bersetuju membenarkan pelarasan tarif air di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dibuat kerana mendapat permintaan daripada semua pihak berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelarasan itu diusulkan dalam mesyuarat bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Sudah dijelaskan oleh semua pihak bahawa semua negeri meminta kita menaikkan (tarif air).

“Dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri, ada negeri tidak naikkan (tarif air) lebih 40 tahun, jadi mereka mengusulkannya dan Kerajaan Persekutuan setuju,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

Penggunaan air domestik adalah dikesan sebanyak 237 liter per kapita setiap hari.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kenyataannya berkata pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button