Sukan

Semua pemain JDT miliki ‘mentaliti juara’ – Solari

JDT menewaskan Sri Pahang 2-0 dalam saingan Liga Super pada semalam.

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan aksi dipersembahkan skuad kendaliannya itu ketika menewaskan Sri Pahang FC 2-0, pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, pada Ahad.

Menurut Solari, kemenangan tersebut dilihat penting menjelang aksi final Piala Malaysia Jumaat ini, setelah skuad Harimau Selatan itu gagal mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila tewas kepada ‘gergasi’ Jepun, Kawasaki Frontale, minggu lalu.

“Kemenangan ini begitu penting setelah ‘kekalahan’ di Jepun minggu lalu. Apa pun, yang penting, kesemua pemain dilihat begitu bersemangat dan bermotivasi di sepanjang perlawanan.

“Mereka (pemain), juga telah mempamerkan karakter terbaik hingga berjaya mendominasi separuh masa pertama selain mencipta banyak peluang gol pada separuh masa kedua.

“Selain itu, kita juga berjaya bermain mengikut cara kita dan ia ternyata memberikan kelebihan hingga kita memenangi perlawanan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan seperti dilapor Sinar Harian.

Pada perlawanan tersebut, pemain import Heberty Fernandes membuka jaringan buat pelawat hasil rembatan cantik pada minit ke-6 dan penggempur berbisa, Bergson da Silva menyumbat gol kedua pada minit ke-42, bagi melengkapkan kemenangan skuad Harimau Selatan itu.

Berbaki satu perlawanan, kemenangan itu menyaksikan JDT semakin selesa di puncak dengan 73 mata hasil 24 kemenangan dan seri sekali daripada 25 perlawanan manakala Sri Pahang FC berada pada kedudukan kelima dengan 44 mata hasil 13 kemenangan, seri lima kali dan tewas tujuh kali daripada 25 perlawanan.

Mengulas bagaimana skuad kendaliannya itu berjaya bangkit melakar kemenangan setelah tumpas dengan jaringan besar dalam saingan ACL minggu lalu Solari berkata, ia disebabkan ‘mentaliti juara’ pemain yang dimiliki oleh kesemua pemain.

Katanya, selain pemain, perkara berkenaan (mentaliti juara) sebenarnya telah turut diserapkan kepada semua staf agar ia seiring dengan ‘bos’ skuad Harimau Selatan itu.

“Pasukan ini sebuah pasukan yang berkembang dan mentaliti juara ini diterapkan kepada semua staf, pemain kerana ‘bos’ kami juga dengan mentaliti yang sama.

“Selepas tewas kepada Kawasaki (Frontale), kita lihat banyak ruang-ruang yang boleh diperbaiki dan ruang-ruang ini agak sukar dilihat dalam saingan liga domestik yang sering kita menangi,” katanya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button