Seorang lagi budak mangsa keropok beracun meninggal dunia
Seorang lagi kanak-kanak yang termakan keropok ‘beracun’ telah meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, selepas melawat mangsa Muhammad Luth Syauqi, 2, di wad.
“Luth sudah meninggal dunia jam 1.24 tengah hari tadi. Hilang sudah kesakitannya.
“Jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah, berhampiran pusara abangnya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, dua beradik Muhammad Akil dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.
Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun tujuan bagi perangkap monyet.
Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
Pada Rabu, Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pagi ketika menerima rawatan di hospital.