
Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town hari ini atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol yang mengakibatkan kematian seorang remaja dan mencederakan seorang lagi bulan lalu.
Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nadratun Naim Saidi selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin, lapor Berita Harian.
Dia didakwa memandu kereta Honda Jazz dalam keadaan mabuk sehingga hilang kawalan dan menyebabkan kematian Thomas Ch’ng, 18, di Jalan Jelutong sekitar jam 9.48 malam pada 19 Februari.
Pertuduhan pertama dibuat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Nguyen turut didakwa atas pertuduhan kedua kerana menyebabkan kecederaan terhadap Ooi Qi Heng, 18, di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan kedua dibuat di bawah Seksyen 44(1A)(a) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam K Mahendran.
Peguam Andy Ooi dan RSN Rayer turut hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Nguyen menyerahkan pasport serta menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.
Darrshini pada awalnya memohon jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat yang sama.
Namun, Mahendran merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu kepada tiga orang anak berusia 16, 10 dan satu tahun, serta bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja sebagai penjaja dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
“Sejak diberi jaminan, dia mematuhi semua arahan polis dan hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.
Rayer membantah jaminan dengan alasan tertuduh merupakan warga asing dan kes ini melibatkan kepentingan awam.
Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes.