Sepanyol tundukkan England julang trofi EURO 2024
England kempunan lagi untuk menjulang trofi bola sepak Eropah buat pertama kali apabila ditundukkan Sepanyol 2-1 dalam perlawanan akhir di Berlin, awal pagi ini.
Ini merupakan pentas akhir kedua berturut-turut ‘The Three Lions’ selepas sebelum ini dibenam Itali pada Euro 2020 lalu.
Manakala Sepanyol pula memanat rekod kejuaraan keempatnya termasuk pada 1964. 2008 dan 2012, meninggalkan tuan rumah Jerman dengan tiga kejuaraan.
‘La Roja’ lebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Nico Williams pada minit ke-47 hasil lorongan sempurna pemain remaja, Lamine Yamal.
Bagaimanapun anak-anak buah Gareth Southgate berjaya menyamakan kedudukan hasil gol pemain gantian Cole Palmer pada minit ke-73.
Mikel Oyarzabal meranapkan harapan England untuk sekurang-kurang mengheret ke masa tambahan apabila menyumbat gol pada minit ke-86.
Pengurus Sepanyol Luis de la Fuente berkata, “Saya sangat gembira… melihat reaksi peminat, melihat reaksi pemain (atas kemenangan).
“Bagi saya, mereka (baisan pemain Sepanyol) adalah yang terbaik di dunia dan hari ini saya mengesahkan definisi itu.”
England tidak pernah memenangi kejuaraan Eropah dan hanya sekali memegang trofi Piala Dunia ketika menjadi tuan rumah pada 1966.
“Kalah dalam perlawanan akhir adalah sukar,” ulas kapten England, Harry Kane selepas perlawanan. – Agensi