Sukan

Seri lawan Korea Selatan bukti Harimau Malaya mampu bersaing di peringkat tertinggi

Harimau Malaya seri 3-3 menentang Korea Selatan dalam Piala Asia.

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Keputusan seri 3-3 dengan Korea Selatan dalam Piala Asia membuktikan bahawa Harimau Malaya sebenarnya mempunyai kemampuan untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Seorang warganet, Shukur Yusuf berkata, sudah tiba masanya untuk Harimau Malaya memberi fokus untuk kelayakan Piala Dunia pula selepas ini.

“Keputusan ini membuktikan kita mampu bersaing di peringkat tertinggi. Selepas ini kita fokus untuk kelayakan Piala Dunia pula. Kita gagal kali ini kerana gemuruh dan kesilapan taktikal terutamanya dalam perlawanan pertama.

“Tetapi inilah permulaannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi warganet, Khairul Aris berkata, belum masanya untuk Harimau Malaya mendabik dada.

“Daripada segi keputusan, memang memihak kepada kita tetapi daripada segi permainan, taktikal dan kemahiran, masih jauh.

“Tetapi yang penting, Malaysia meningkat daripada perlawanan pertama dan seterusnya. Pengajarannya kena banyak pendedahan lawan pasukan yang kuat,” katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya pulang dengan satu mata selepas bangkit mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub sebentar tadi.

Pemain gantian, Romel Morales muncul wira selepas golnya pada minit 90+15 menindakkan kemenangan Korea Selatan.

Dalam pertemuan itu, Korea Selatan terlebih dahulu di hadapan menerusi pemain tengah VFB Stuttgart, Jeong Woo-yeong pada minit ke-21.

Bagaimanapun, anak buah Kim Pan-gon menyamakan kedudukan menerusi sepakan lambung Faisal Halim m-51.

Malaysia mengejutkan gergasi Asia itu pada minit ke-61 menerusi Arif Aiman Hanapi yang tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Korea Selatan yang tertekan melancarkan serangan bertali arus dan kembali menemui sentuhan jaringan menerusi bintang PSG, Lee Kang-in m-83.

Kapten Son Heung-min kembali meletakkan Korea Selatan di hadapan selepas menyempurnakan penalti m-90+4.

Ketika permainan hampir ditamatkan, pemain gantian Romel Morales menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Korea Selatan 3-3.

Jurgen Klinsmann menyenaraikan lapan pemain berpangkalan di Eropah dalam perlawanan di Al Janoub, namun Malaysia tenang menyerap asakan untuk keputusan seri 3-3. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button