Berita

Setahun berjuang tuntut hak pencarum KWSP, PGIRM kecewa dituduh kutip bayaran

PGIRM didakwa mengutip dana daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kepentingan diri sendiri.

KUALA LUMPUR 13 Julai – “Selama setahun PGIRM bersengkang mata untuk lakukan yang terbaik memperjuangkan hak rakyat mengeluarkan wang simpanan mereka, tiada satu sen pun untuk kami. Kini, timbul pula tuduhan yang bukan-bukan”.

Itu keluhan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir yang kecewa dengan tindakan segelintir pihak menuduh pihaknya mengutip dana daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kepentingan diri sendiri.

Sebaliknya, menurut Azmi, pihaknya hanya meminta sumbangan ikhlas daripada pencarum berjumlah RM2 untuk menampung kos percetakan banting dan kertas kerja untuk diserahkan kepada pihak menteri sebelum ini.

Azmi juga tidak pernah mewar-warkan kepada pencarum mengenai masa dan tenaga yang digunakan PGIRM untuk memeriksa ratusan ribu borang kaji selidik yang menuntut untuk pengeluaran KWSP Bersasar 2.0, asalkan dapat berikan yang terbaik kepada rakyat.

“Saya kecewa apabila ada pihak yang menuduh PGIRM mengutip bayaran sepanjang memperjuangkan pengeluaran khas KWSP 2.0, sedangkan kami tidak pernah berbuat demikian.

“Cuma kami ada minta bantuan daripada pencarum yang sanggup menyumbang RM2 untuk menampung kos percetakkan yang menelan belanja sehingga RM1,000 yang saya kira tidak adil untuk PGIRM menanggung kos itu berseorangan,” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.

Katanya lagi, PGIRM juga tidak pernah memaksa mana-mana pencarum untuk memberikan sumbangan kerana memahami keadaan kewangan pencarum.

“Kami buat semua ini bukan untuk diri sendiri, semua untuk pencarum sahaja. Kami faham situasi dan kewangan yang terpaksa ditanggung pencarum.

“Jadi, tidak adil apabila ada pihak yang menuduh kami meminta bayaran daripada pencarum. Kami menjadi wakil kepada pencarum yang tidak berkesempatan untuk turun padang dan berjumpa menteri,” katanya.

Azmi turut berharap tiada lagi pihak yang cuba mempertikaikan usaha dan perjuangan yang dilakukan PGIRM selama ini untuk mendapatkan hak pencarum.

“Kalau pencarum berani bersuara, kami tak perlu ke depan. Tuntut KWSP bukan seorang, tapi jutaan rakyat dan kami tuntut atas dasar aduan rakyat.

“Saya harap bila ada pertikaian dari pihak tertentu, janganlah terus kecam dan ingatlah perjuangan yang kita tempuhi selama ini,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button