Politik

Setiap Undi BN Adalah Untuk Ismail Sabri Sebagai Perdana Menteri – Presiden MIC

SUNGAI SIPUT, Nov 7 — Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan dakwaan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan modal lapuk yang sengaja dimainkan pihak pembangkang.

Sebaliknya beliau berkata, setiap undi kepada BN adalah undi untuk kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri malah Ahmad Zahid sendiri telah pun menafikan khabar angin tersebut.

Calon Parlimen Sungai Siput itu turut menyelar tindakan pemimpin pembangkang yang membangkitkan isu itu dan menyifatkan mereka tiada kapasiti untuk berbuat demikian memandangkan ada antara mereka turut terpalit skandal dan kes mahkamah.

“Pembangkang seolah tiada modal hendak disuarakan sehingga terpaksa mengutarakan perkara yang bukan-bukan. Rakyat sudah jemu dan semua orang sudah tahu tuduhan tidak berasas tersebut hanya retorik pembangkang.

“Seeloknya (pembangkang) beritahu kepada rakyat apa yang mereka telah lakukan untuk rakyat selama 22 bulan memerintah.

Disebabkan tiada modal yang hendak mereka ketengahkan, jadi apa yang mereka boleh buat adalah memburukkan BN,” katanya kepada xklusif.my, semalam.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menafikan kenyataan yang mendakwa Ahmad Zahid dinamakan sebagai calon Perdana Menteri seperti yang tular di media sosial.

Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk sebelum ini menjelaskan, parti itu mengekalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Vigneswaran yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Selatan itu menegaskan kegagalan kes rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika di bawah kepimpinan Ismail Sabri juga adalah bukti jelas bahawa kerajaan BN tidak akan masuk campur dalam sistem keadilan negara.

“Jadi, kita ada Ismail Sabri, calon Perdana Menteri yang ‘decent’, pembangkang usahlah sibuk nak cakap perkara yang mengguris hati.

Saya sendiri enggan mengguris hati sesiapa, tapi mereka (pembangkang) langsung tiada modal sebab itu gemar menyentuh mengenai rekod buruk pihak lain,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button