Shabery Cheek Pengerusi FELDA baharu

KUALA LUMPUR 28 Jun – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi FELDA yang baharu, berkuat kuasa Sabtu ini.
Ahmad Shabery, 65, menggantikan Tan Sri Idris Jusoh yang bakal menamatkan perkhidmatan pada Jumaat ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, FELDA memaklumkan, agensi itu optimis pelantikan Ahmad Shabery yang juga bekas Menteri Penerangan serta bekas Menteri Belia dan Sukan, akan dapat meneruskan kesinambungan usaha transformasi FELDA yang berjalan selama ini.
Ahmad Shabery menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2015 hingga 2018, juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Penerangan dari Mac 2008 hingga awal April 2009 sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Bekas Ahli Parlimen Kemaman ini berkelulusan ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya (UM), selain ijazah sarjana sains politik dari University of Leeds, United Kingdom (UK) dan diploma lanjutan dalam bidang perhubungan antarabangsa dari Universiti Uppsala, Sweden.
Ahmad Shabery pernah menjadi pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM dan felo penyelidik di Institut Kajian Asia Tenggara Singapura (ISEAS).
Sementara itu, FELDA turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Idris yang sepanjang tiga tahun perkhidmatan, mengangkat FELDA kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan dikecapi agensi ini serta warga peneroka.
“Antara kejayaan paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun, iaitu daripada 17.29 tan perhektar pada 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada 2022,” menurut kenyataan berkenaan.
“Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka. Tan Sri juga telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam usaha memperkasakan pendidikan generasi baharu FELDA, Idris memperkenalkan inisiatif FELDA Digital Maker Hub: Coding & Robotic, kelas pintar serta menaik taraf MRSM FELDA sebagai sebuah MRSM Ulul Albab.
“Inisiatif ini memberikan peluang kepada generasi baharu FELDA untuk mendapat pendidikan berkualiti yang mampu meningkatkan mobiliti sosial mereka,” katanya.
FELDA juga menghargai usaha Idris yang telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima.
“Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Waqaf FELDA yang kini mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka sendiri.
“Semua usaha dan inisiatif Idris menjadi bukti komitmen beliau mentransformasikan