Sukan

Shah Firdaus jadi harapan terakhir negara

Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi talian hayat terakhir kontinjen negara dalam misi memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar, Johor, itu, bakal beraksi dalam suku akhir acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin en Yvelines dan wakil tunggal Malaysia pada hari terakhir temasya, Ahad.

Hari ke-15 temasya menyaksikan insiden malang bagi kontinjen negara apabila sandaran emas utama negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya seawal pusingan pertama.

Pemenang pingat gangsa Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, kedua-duanya bagi acara keirin, terpaksa menamatkan kempennya kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek pada saringan pertama.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Azizul | Awang (@azizulhasniawang)

Kontinjen Malaysia kemudian terus ditimpa malang apabila Shah Firdaus, yang berlumba pada saringan kelima, disingkirkan kerana berada di garisan biru dan diberi amaran kerana memaksa pelumba lain terkeluar trek dengan memasuki laluan mereka.

Namun, dia berjaya bangkit untuk memenangi saringan ketiga pusingan repechage untuk kembali menebus kekecewaan itu.

Bagaimanapun, pemenang dua gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lepas itu, akan berdepan cabaran sengit antaranya daripada pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Jepun Kaiya Ota.

Pusingan suku akhir dijadualkan pada 11.29 pagi Ahad (5.29 petang di Malaysia), diikuti separuh akhir sejam kemudian dan final pada 1.32 tengah hari (7.32 malam di Malaysia).

Sementara itu, pemain golf profesional negara Ashley Lau menamatkan saingan acara individu wanita di kedudukan ke-55 daripada 60 peserta di Le Golf National apabila mencatatkan lima bogey untuk menamatkan pusingan keempat dengan enam atas par 78.

Pemain berusia 24 tahun itu, berkongsi kedudukan dengan Sara Kouskova dari Republik Czech selepas kedua-dua mereka membuat pukulan keseluruhan 18 atas par 306.

Malaysia hanya meraih dua gangsa menerusi badminton, yang disumbang oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) menjelang hari terakhir temasya hari ini.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button