Berita

Sharnaaz bebas tuduhan cederakan pengawal keselamatan

Sharnaaz sebelum ini didakwa mencederakan pengawal keselamatan di sebuah kondominium tahun lepas.

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan pelakon Sharnaaz Ahmad daripada pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nadia Eleena Jamaluddin Akbal.

“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan peguam, mahkamah berpuas hati dan memerintahkan supaya OKS dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Wang jaminan (RM2,000) dikembalikan kepada OKS,” kata Atiqah.

Sharnaaz, yang berbaju kemeja berwarna hitam dan berseluar hitam, kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.

Terdahulu, Wan Azmir berkata satu representasi telah dihantar kepada pendakwaan pada 2 Mei lepas dan pihak pembelaan menerima jawapan melalui surat balas bahawa pendakwaan ingin menarik balik pertuduhan terhadap pelakon itu.

TPR Nadia Eleena yang mengesahkan perkara itu berkata beliau mendapat arahan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk kes berkenaan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan).

Bagaimanapun, Wan Azmir berkata pihaknya memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan dan bukannya dilepas tanpa dibebaskan kerana pengadu sendiri telah menarik balik kes.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu berhubung penarikan balik kes tersebut. Oleh itu, saya mohon satu keputusan DNA (lepas dan bebas) perlu diberikan kepada Sharnaaz,” katanya yang turut mengendalikan kes bersama seorang lagi peguam Sharnaaz, Abu Bakar Isa Ramat.

Pada 18 Jan lepas, Sharnaaz mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022. — Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button