Politik

Siapa MB Negeri Sembilan selepas PRN?

Kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan masih menjadi teka-teki.

KUALA LUMPUR 13 Julai – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan semakin terasa dengan pelbagai teka-teki mula bermain dalam kalangan pengikut politik tempatan dan pengundi.

Satu daripadanya adalah kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Seri Aminuddin Harun.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan yang dia cukup berpuas hati kemampuan Aminuddin sepanjang meneraju Negeri Sembilan.

Untuk rekod, Aminuddin sebelum ini merupakan ahli UMNO sebelum meninggalkan parti itu pada 1999 untuk menyertai PKR dan kini menjadi Pengerusi PH Negeri Sembilan.

Kedudukan dan pengaruh yang dimiliki Aminuddin juga menjadikannya sebagai ‘poster boy’ untuk PRN Negeri Sembilan seperti yang dikatakan Anwar.

Namun, rakan gabungan PH, Barisan Nasional (BN) juga sudah menyatakan bahawa mereka mempunyai calon yang lebih sesuai untuk mengambil alih jawatan MB.

UMNO dilihat lebih menginginkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk bergelar MB.

Malah, sumber dalaman parti itu juga mengesahkan bahawa Jalaluddin menjadi pilihan ahli UMNO.

Apa yang berlaku kini seperti ada perang proksi antara BN dan PH. Kedua-dua gabungan parti ini seperti sudah meletak tanda awal siapa yang akan menjadi MB selepas PRN.

Menjenguk ke bawah, jentera UMNO nampaknya lebih bermotivasi dan agresif berbanding dengan parti komponen PH.

Buat masa sekarang, PH perlu membuat keputusan segera untuk menentukan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar bagi PRN untuk setiap negeri.

Ini kerana, keputusan tidak menentu antara pemimpin PH dan BN akan membuatkan pengundi berada dalam kekeliruan.

Perkara ini juga menunjukkan bahawa PH dan BN nampaknya gagal mencapai kata sepakat kecuali bagi calon yang bakal dipertandingkan untuk setiap kerusi. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button