Berita

Siasat Tun M dan anak-anaknya dahulu – Shamsul Iskandar

Shamsul Iskandar menganggap kenyataan bernada sindiran oleh Tun M menunjukkan kesombongan sikapnya.

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin mencabar Dr Mahathir Mohamad, yang menggesa kerajaan menahan reman semua yang memegang gelaran Tun, jika mereka tidak mendedahkan sumber kekayaan membenarkan siasatan SPRM ke atas bekas perdana menteri itu sendiri, termasuk anak-anaknya.

“Tun, cakap siang pandang – pandang. Cakap malam, dengar – dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,” kata pemimpin PKR itu dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di media sosialnya.

Menurut Shamsul Iskandar, kenyataan bernada sindiran Dr Mahathir supaya ‘tahan reman’ semua orang yang memiliki pangkat Tun jika mereka enggan mendedahkan hasil kekayaan mereka, menunjukkan “kesombongan sikapnya”.

Ini, katanya memandangkan SPRM sedang menyiasat rakan baiknya, bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin berhubung siasatan ke atas kes pengubahan wang haram.

Shamsul seterusnya mengingatkan bahawa semua orang termasuk mereka yang bergelar Tun, tidak berada di atas undang-undang.

“Umum mengetahui mengapa Dr Mahathir membuat kenyataan sebegini, kerana dia sememangnya tidak senang dengan Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 lagi.

“Ini kerana keengganan Anwar yang ketika itu menjadi menteri kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-98, yang mengakibatkan pemecatan Anwar dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini.

“Tetapi jika jujurlah kata-kata Mahathir sekiranya dia mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu,” kata Shamsul.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu seterusnya menggesa SPRM menyelongkar sumber kekayaan anak-anak Mahathir dan juga menyiasat semula kes penyelewengan dana dan projek-projek negara yang merugikan seperti Perwaja Steel, Empangan Hidroelektrik Bakun, MISC Berhad, Pelabuhang Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Maminco dan Kenchana Petroleum.

Semalam, Mahathir mengeluarkan kenyataan sinis susulan tindakan SPRM melancarkan siasatan terhadap bekas menteri kewangan Daim Zainuddin – seorang lagi yang bergelar Tun dan adalah sekutu rapat Mahathir – berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.

“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.

“Tidak perlu mendapatkan bukti dokumentari tentang salah laku mereka. Syak wasangka sahaja sudah memadai,” katanya semalam. — MalaysiaKini

Artikel Berkaitan

Back to top button