Siasatan 1MDB jadi NFA tak dibuat secara peribadi – Mohamed Apandi
Keputusan itu diambil secara kolektif oleh pasukan petugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika itu.
KUALA LUMPUR 28 Julai – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menegaskan tindakan mengklasifikasikan kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bukan dibuat secara peribadi.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu diambil secara kolektif oleh pasukan petugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika itu.
Katanya, pasukan petugas berkenaan dianggotai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mesti ada alasan untuk perkara itu diklasifikasikan sebagai NFA, namun tanpa kertas siasatan dan minit, saya tidak ingat alasannya kerana semua itu berlaku lapan tahun lalu.
“Apa yang saya ingat ialah untuk meneliti kertas siasatan, kami di AGC mempunyai pasukan petugas.
“Apa juga keputusan yang dibuat, ia adalah keputusan kolektif pasukan petugas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keterangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, semalam.
Zeti dilaporkan berkata, walaupun banyak bukti dikumpul dan direkodkan BNM mengenai penyelewengan dalam 1MDB, Peguam Negara (pada waktu itu) memutuskan kertas siasatan diklasifikasikan sebagai NFA.
Mohamed Apandi yang memegang jawatan Peguam Negara pada waktu itu, membuat keputusan berkenaan pada 11 September 2015 atas sebab yang tidak diketahui.
Sementara itu, Mohamed Apandi berkata, di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk berbuat demikian iaitu mengklasifikasi kes sebagai NFA sekiranya wujud alasan yang kukuh.
“Bagaimanapun, bagi memastikan perkara itu diperhalusi secara telus, saya mengambil tindakan untuk membuat keputusan secara kolektif,” katanya. — Berita Harian