Berita

Siasatan kes pemerdagangan manusia dikaitkan bekas menteri dilakukan dengan tertib, cermat

Proses siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas menteri dan suami akan dilakukan secara tertib dan cermat dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak polis juga akan memanggil beberapa lagi individu yang terlibat untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada polis, kertas siasatan telah dibuka dan telah kenal pasti individu yang terlibat, malah ada yang sudah dipanggil dan akan dipanggil.

“Oleh itu, proses siasatan ini akan dilakukan secara tertib dan cermat kerana menjadi amalan siasatan pihak polis melihat pelbagai aspek termasuk mengesan penulis artikel terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin Nasution berharap semua pihak dapat memberi kerjasama untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan dalam tempoh yang munasabah.

Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang turut dikaitkan dengan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran, Indonesia dan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa terbabit dalam jenayah itu untuk diambil keterangan. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button